Thursday, August 12, 2010

Puasa yang diberkati



 
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Riwayat Ibnu Majah



Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Setiap muslim harus memahami konsep sebenar puasa supaya ibadah puasanya itu tidak menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.
ii) Berpuasa mengikut perspektif Islam ialah menahan diri dari makan dan minum serta mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkannya mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
iii) Selain itu puasa juga bermakna menahan diri daripada perkara-perkara berikut iaitu:
a) Menundukkan pandangan mata serta mengatasinya daripada tertuju kepada segala yang tercela.
b) Menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang sia-sia, dusta, fitnah, cacai maki dan menyinggung perasaan orang lain.
c) Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang ditegah agama di mana perkara yang haram diucap adalah juga haram didengar seperti mengumpat dan sebagainya.
d) Mencegah tangan, kaki dan perut serta semua anggota badan daripada melakukan atau mengambil perkara yang haram.
iv) Seorang muslim hanya akan terbentuk melalui ibadah puasa yang ditunaikan dengan penuh penghayatan di mana bagi mereka yang berpuasa sekadar untuk menunaikan kewajipan tanpa memahami apa sebenarnya yang dituntut oleh agama maka mereka tidak akan dapat merasai kemanisan nikmat puasa tersebut malah puasa itu dirasakan sebagai satu bebanan yang terpaksa ditanggung.
v) Bulan Ramadhan adalah bulan di mana pada awalnya dijanjikan keampunan (maghfirah), pertengahannya rahmah dan akhirnya dijauhkan dari azab api neraka. Oleh itu setiap daripada kita haruslah berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati-Nya dengan melakukan amalan-amalan baik di samping menjauhi segala sifat-sifat yang keji dan mungkar.

Kewajiban menjaga imej agama islam



Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w:”Sesungguhnya Allah SWT telah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokkan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini? ”

Riwayat at-Tabrani



Huraian
1. Akhlak yang mulia merupakan perhiasan diri selain daripada cerminan agama yang dianuti.

2. Islam memerintahkan penganutnya agar sentiasa memperelokkan akhlak mereka dan menjauhi segala sifat-sifat yang buruk sehingga menjadi fitnah pada agama. Contohnya banyak berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini yang menyalahtafsirkan ajaran agama dan melakukan berbagai perbuatan buruk dan zalim yang didakwa dilakukan di atas nama Islam.

3. Allah mengetahui segala yang tersirat di dalam hati manusia. Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam melakukan segala sesuatu agar tidak menjatuhkan maruah diri, agama dan masyarakat sekeliling.

AHLAN WASAHLAN....YA RAMADHAN AL-KARIM..... NAHNU NUHIBBUK 'ALAIK...... WA RAHMAH WA MUBARAKAH FIH....



Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

Abu Hurairah r.a
Nasehat AlHabib Imam Dai'ilallah AlQutbiyah Abdullah Al-Haddad "Seseorang yang sibuk memenuhi hak Tuhannya daripada hak dirinya dan hak teman-temannya, maka dia adalah hamba yang dekat. Seseorang yang sibuk memenuhi hak dirinya daripada hak Tuhan dan hak teman-temannya, maka dia adalah hamba syahwat. Seseorang yang sibuk memenuhi hak teman-temannya daripada hak Tuhannya dan hak dirinya, maka dia adalah hamba kedudukan. Seseorang yang sibuk dengan memenuhi hak Tuhannya dan hak teman-temannya daripada hak dirinya, maka dia adalah pewaris Nabi."(Al-Imam Abdullah bin Alwi Al-Haddad).